Tuesday, July 26, 2011

Laporan Pembentangan Berfokus

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya, maka siaplah Laporan Pembentangan Berfokus Panitia Pendidikan Islam & j-QAF bagi penggal pertama tahun 2011. Perisian Power Point yang mengandungi 30 slide tersebut mengandungi pelbagai maklumat yang berguna untuk rujukan dan perhatian bagi pihak yang berkaitan. Berikut adalah sedikit paparan Laporan tersebut:


Slide 1: Muka depan slide


Slide 10: Analisa Pencapaian


Slide 11: Graf Pencapaian


Slide 17: Carta Organisasi


Slide ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian Panitia Pendidikan Islam dan maklumat program j-QAF. Dalam slide ia dibezakan dengan menggunakan dua warna iaitu ungu dan biru seperti yang anda lihat di atas. Untuk tayangan umum, anda bolehlah memuat turun Power Point kami ini. Amaran!!! Sila guna Microsoft Office 2007 ye....

Tuesday, July 5, 2011

Manfaatkan Keistimewaan Syaaban

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Muslim digalak bertaubat mohon keampunan, keredaan pada bulan rahmat

SYAABAN adalah antara bulan mulia di sisi Allah. Ia bulan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam seluruhnya. Justeru, Rasulullah banyak berpuasa sunat dalam bulan mulia ini di samping menggalakkan umat Islam melipatgandakan amal ibadat.

Mereka tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin seperti mereka bersungguh-sungguh meluangkan masa untuk beribadat kepada Allah pada Ramadan. Adat Jahiliah dulu, orang Makkah lebih mengutamakan dan memuliakan Rejab dan melupakan Syaaban.

Sehubungan itu, Usamah bin Zaid berkata: “Aku bertanya Rasulullah Syaaban kerana aku tidak pernah lihat baginda banyak berpuasa sunat seperti berpuasa dalam Syaaban.” Baginda menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai dan padanya ialah bulan di antara Rejab dan Ramadan. Pada Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amatlah suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i).

Maksud hadis di atas jelas menunjukkan segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat malaikat pada tiap-tiap hari manakala amal ibadat Syaaban ini bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan yang disediakan oleh malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah.

Setiap Muslim wajib menginsafi segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati dan sebagainya akan dicatatkan oleh malaikat tidak kira sama ada yang besar mahupun yang kecil.

Hal ini amat jelas melalui firman Allah bermaksud:

Dan demi sesungguhnya Kami mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedangkan (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. Semasa dua malaikat (yang mengawal dan menjaganya) menerima dan menulis segala perkataan dan perbuatannya; yang satu duduk di sebelah kanannya dan yang satu lagi di sebelah kirinya. Tidak ada sebarang perkataan dilafazkan (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).”(Surah Qaf, ayat 16 – 18).

Oleh itu, setiap Muslim seharusnya menyedari dan menginsafi betapa ketatnya pengawasan Allah terhadap sekalian makhluk-Nya. Maka, dengan menginsafi pengawasan yang datang daripada pihak malaikat iaitu Malaikat ‘Atid dan Raqib di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, mudah-mudahan manusia akan mempunyai rasa kesedaran dan keinsafan mendalam untuk menghentikan dan mengakhiri segala amalan buruk dilakukannya dari satu segi dan juga memiliki dorongan dan semangat untuk melaksanakan pelbagai amalan kebajikan dan soleh yang dianjurkan Islam dari satu segi yang lain.

Rasulullah adalah contoh teladan umat Islam dalam segala lapangan hidup, maka mereka digalakkan banyak berpuasa sunat Syaaban seperti berpuasa Rasulullah pada bulan itu.

Selepas Syaaban akan dituruti pula Ramadan yang diwajibkan kepada umat Islam berpuasa keseluruhannya. Dengan itu puasa Syaaban adalah perintis dan latihan untuk membiasakan diri bagi menunaikan kewajipan berpuasa dalam Ramadan sepenuhnya.

Bagi mereka yang sudah biasa berpuasa sudah tentu kurang terasa kepenatan dan tidak pula terkejut serta berasa berat hati untuk berpuasa dalam Ramadan nanti.

Selanjutnya, ada banyak hadis yang memberi perangsang kepada umat Islam supaya mengikuti sunnah Rasulullah.

Di antaranya, Saidatina ‘Aisyah pernah meriwayatkan bahawa beliau tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa sebulan sepenuhnya kecuali Ramadan, beliau juga tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa hampir sebulan penuh melainkan Syaaban. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Saidatina Aishah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berpuasa Syaaban semuanya. (Hadis riwayat Bukhari).

Saidatina Ummu Salmah pula berkata: “Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa dua bulan berturut-turut kecuali Syaaban dan Ramadan.” (Hadis riwayat Nasa’i).

Berdasarkan himpunan hadis di atas dapat disimpulkan Islam menggalakkan umatnya melaksanakan ibadat puasa sunat dalam Syaaban. Lebih-lebih lagi ibadat puasa adalah suatu ibadat yang sangat dituntut dilakukan dalam Syaaban.

Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai gerbang Ramadan, bulan ini sudah tentu akan melatih Muslim berpuasa menjelang ketibaan ujian yang berat pada Ramadan nanti.

Justeru, ada kalangan ulama berpendapat puasa pada bulan ini disifatkan yang paling afdal atau baik selepas daripada berpuasa Ramadan.

Berkenaan kelebihan Nisfu Syaaban iaitu malam pertengahan bulan Syaaban pula kita boleh dapati melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya, daripada Muaz bin Jabal r a, Nabi bersabda maksudnya:

Allah melihat kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan Allah akan memberikan pahalanya kepada seluruh hambanya melainkan mereka yang melakukan kesalahan syirik dan orang berzina.”

Dalam hadis lain sebagai mana diriwayatkan Abdullah bin Amru bin al-As bermaksud:

Allah memandang makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban, lalu diampuni dosa hamba-Nya kecuali dua golongan, iaitu orang yang membunuh diri dan orang yang menyebarkan fitnah” (Hadis riwayat Ahmad).”

Demikian antara himpunan hadis menggambarkan secara umum kepada berkenaan kelebihan Syaaban yang sungguh istimewa ini. Oleh itu, amal ibadat mesti dilipat gandakan seperti diamalkan Rasulullah memperbanyakkan puasa sunat.

Yang paling utama sekali, setiap Muslim sewajarnya merebut peluang keemasan yang terhampar pada Syaaban untuk meraih keampunan dan keredaan Ilahi kerana ada hadis menyatakan bahawa Allah sedia memberi keampunan kepada hamba-Nya yang bertaubat pada sepanjang Syaaban yang penuh rahmat itu.

Tiada hadis sahih bicarakan malam Nisfu Syaaban


SYAABAN adalah salah satu bulan Hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Syaaban dianggap pintu gerbang Ramadan kerana pada bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.

Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.

Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah SAW terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Pada bulan Syaaban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yasin secara beramai-ramai.

Malangnya, timbul persoalan mengapa umat Islam hanya melangkah kaki ke masjid dan surau pada malam Nisfu Syaaban saja, tidak pada hari lain dalam bulan lain. Perlu ditegaskan, setiap bulan Hijrah memiliki keistimewaan dan kelebihan masing-masing dan bagi Muslim bertakwa akan sentiasa berusaha merebut dan meraih keistimewaan yang Allah sediakan pada bulan itu.

Muslim sejati tidak akan memilih bulan tertentu untuk beribadat kepada Allah. Dia akan sentiasa beristiqamah dan beriltizam menjunjung segala titah dan perintah Allah pada setiap masa dan keadaan sehinggalah dia menghadap Allah nanti.

Di samping itu, terdapat juga himpunan hadis menerangkan keistimewaan Syaaban, kelebihan malam Nisfu Syaaban dan keutamaan amalan tertentu pada bulan itu. Namun, kebanyakan hadis itu adalah hadis daif menurut pandangan ulama. Walau bagaimanapun ada sebahagian ulama berpendapat hadis daif boleh dipegang dalam amalan sunat secara perseorangan.

Pada Syaaban ini, umat Islam dianjurkan lebih mendekatkan diri kepada Allah dengan meningkatkan amal soleh dan memperbanyakkan ibadat. Tidak ada hadis diriwayatkan berkaitan dengan amalan dan bacaan doa tertentu pada pertengahan Syaaban mencapai taraf hadis sahih. Menurut mereka, tidak ada satu pun hadis sahih yang membicarakan mengenai malam Nisfu Syaaban dan amalan dianjurkan pada malam itu.

Berdasarkan amalan biasa dilakukan umat Islam di Malaysia iaitu amalan membaca surah Yasin sebanyak tiga kali dan juga bacaan doa khusus (doa yang tidak ada asal usulnya dan tidak menepati dalil Syarak sama ada dalil manqul (bersumberkan al-Quran dan hadis) atau ma’qul (bersumberkan pendapat ulama mujtahidin yang muktabar).

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya al-Fatawa, kandungan doa itu secara umumnya adalah permohonan supaya ditetapkan sebagai seorang yang bahagia dan murah rezeki bersesuaian dengan segala kebaikan.

Maksud doa itu berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menghapus dan menetapkan apa yang Dia kehendaki, dan di sisi-Nya ummul kitab (ibu segala suratan)." (Surah al-Ra'd:39)

Jelas di sini percanggahan nyata dalam isi kandungan doa ini. Pada permulaannya pemohon berkata, jika tertulis di sisi Allah di dalam kitabnya sebagai seorang yang susah dalam urusan mencari rezeki, pendoa meminta supaya dihapuskan kesusahan itu dan ditetapkan di sisi Allah di dalam kitabnya (yang sama) sebagai seorang bahagia dan murah rezeki untuk segala kebaikan, berdasarkan maksud ayat yang disebutkan.

Makna ummul kitab ialah tidak ada di dalamnya penghapusan dan tidak ada pengisbatan (penetapan), bagaimana dia (orang yang berdoa) pada masa yang sama memohon penghapusan dan pengisbatan di dalamnya.

Pada masa sama, ucapan doa itu bertentangan dengan adab berdoa seperti digariskan ajaran Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Apabila kamu meminta kepada Allah (berdoa kepada-Nya), janganlah kamu ucapkan: Ya Allah ampunilah jika Kamu kehendaki, rahmatilah daku jika Kamu kehendaki, berikanlah rezeki padaku jika Kamu kehendaki, sebaliknya hendaklah kamu menetapkan permasalahannya (apa yang diminta), Allah Maha Berkuasa melakukan berdasarkan ketentuan-Nya dan tidak ada paksaan ke atas-Nya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seterusnya, umat Islam dianjurkan melaksanakan amal ibadat sebanyak mungkin menurut kemampuannya pada malam itu antaranya solat lima waktu secara berjemaah, bersolat sunat dan melakukan solat tahajud, berpuasa sunat, membaca al-Quran, beristighfar kepada Allah, bertasbih, bertahlil, bertakbir dan membaca pelbagai doa dan zikir yang ma'thur. Wallahu'alam.

Sunday, July 3, 2011

Logo Panitia Pendidikan Islam & j-QAF


Inilah logo rasmi bagi Panitia Pendidikan Islam & j-QAF SK Jemukan. Berteraskan warna ungu sebagai warna utama adalah mengambil dari ketenangan serta keharmonian pelajar untuk mempelajari ilmu Pendidikan Islam di sekolah. Minat dan usaha mereka untuk terus berjuang di dalam agama suci ini. Bintang lima bucu menandakan penekanan kepada rukun Islam terhadap pelajar. Ini amat penting bagi memastikan usaha yang dilakukan oleh guru pada masa kini akan berterusan sehingga mereka dewasa kelak. Gambar al-Quran pula melambangkan misi utama Panitia Pendidikan Islam iaitu untuk melahirkan pelajar yang boleh membaca al-Quran secara hakiki menjelang tahun 2015. Bermottokan dengan BERIMAN, BERAKHLAK dan BERAMAL, ia adalah selaras dengan sifat jati diri pelajar sekolah rendah. Apa yang penting ialah menekankan rasa keimanan mereka tehadap Allah dan Rasul, seterusnya mereka akan mengadaptasi akhlak yang dianjurkan oleh Islam ke dalam kehidupan seharian mereka sekaligus beramal dengan apa yang disampaikan kepada mereka semasa menjalani P&P di sekolah.

Friday, July 1, 2011

Ahlan wa Sahlan wa Marhaban Bikum

Selamat datang ke Blog Rasmi Panitia Pendidikan Islam & j-QAF (PPIjQAF) SK Jemukan. Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izinnya, maka diberi kesempatan untuk kami mereka serta membentuk satu laman komunikasi yang akan menggabungkan PPIjQAF SK Jemukan dengan sekolah-sekolah yang lain di seluruh Malaysia khususnya. InsyaAllah, dengan kemudahan serta kesempatan yang ada ini, kami akan cuba untuk berkongsi segala maklumat yang ada demi meningkatkan lagi mutu kerja serta prestasi pendidikan terutama sekali di dalam bidang Pendidikan Islam.

Laman yang tersedia ini akan kami gunakan sebaik mungkin di dalam mencapai Misi serta Visi PPIjQAF bagi tahun 2011-2015. Semoga, pengunjung blog ini dapat memberi idea serta kritikan yang membina bagi meningkatkan lagi sistem yang ada serta menerima manfaat daripada kami dengan segala bahan yang kami sediakan. Wallahu'alam....